Pengenalan

Pusat ini menumpukan kajian terhadap masyarakat Orang Asli dan Pribumi di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Asia Tenggara. Masyarakat Orang Asli   merangkumi tiga suku kaum yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Asli. Kaum Negrito terdiri daripada bangsa Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendriq dan Bateq. Manakala  kaum Senoi terdiri daripada bangsa Temiar, Semai, Semoq Beri, Che Wong, Jahut dan Mahmeri. Sementara  kaum Melayu-Asli pula terdiri daripada bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanak, Orang Kuala dan Orang Seletar. Masyarakat Pribumi Sabah dan Sarawak ialah Dusun, Melanau, Kadazan, Iban, Bajau Laut, Bidayuh, Murut, Orang Sungai, Bisayak dan lain-lain.

Merujuk kepada bidang penyelidikan mengenai dakwah Orang Asli dan Pribumi, ianya perlu dilakukan secara padu dan mantap kerana walaupun usaha dakwah kepada mereka telah dilakukan semenjak negara belum lagi mencapai kemerdekaan, tahap pengislaman dan penghayatan mereka amat sedikit dan kurang memuaskan. Sehingga tahun 2006 jumlah masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam hanyalah sekitar 30 % sahaja daripada jumlah  keseluruhan di Semenanjung Malaysia.

Usaha dakwah dan penyelidikan terhadap  masyarakat ini telah disumbangkan oleh Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan semenjak akhir 1980-an lagi melalui pelbagai aktiviti dakwah seperti  ziarah, keluarga angkat, malam kesenian Islam, program motivasi, sukan dan sukaneka, gotong royong dan sebagainya sama ada di perkampungan Orang Asli itu sendiri atau di kampung Melayu yang berjiran dengan masyarakat Orang Asli.  Program praktikal ini dilakukan kerana  terdapat kursus-kursus yang berkaitan dengan usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan seperti PM 2022-Metodologi Dakwah Kepada Non-Muslim dan PM 1053-Kajian Budaya Etnik Malaysia. Usaha tersebut melahirkan banyak kajian yang berkaitan dengan dakwah kepada Orang Asli.

Penyelidikan yang terfokus terhadap masyarakat Orang Asli dan Pribumi amat diperlukan untuk membina kecemerlangan masyarakat tersebut melalui usaha-usaha dakwah  di negara ini.  Oleh kerana itu, usaha penyelidikan di bawah suatu pusat kecemerlangan perlu dilaksanakan segera,  khususnya di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam.  Pusat ini dinamakan Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi.

Objektif

1. Membudayakan penyelidikan dalam kalangan pemikir-pemikir Islam dalam menyediakan asas yang kukuh terhadap perkembangan ilmu serta tamadun Islam khususnya dalam konteks masyarakat non-Muslim.

2. Mewujudkan jaringan intelektual antarabangsa dalam kalangan pemikir Islam dengan lain-lain sarjana demi mengangkat imej universiti dan negara.

3. Menganalisis perkembangan dan pembangunan dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

4. Menjadi wadah penjanaan dana penyelidikan dari disiplin ilmu dakwah mengenai masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

5. Mewujudkan pusat pangkalan data berkaitan dengan isu-isu semasa dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

6. Menjadi pusat rujukan dan latihan bagi melahirkan sarjana penyelidik dan pendakwah khusus dalam isu-isu yang berkaitan dengan dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

Peranan

1. Sebagai pusat pengumpulan sumber pakar dan kepakaran universiti dalam bidang dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

2. Sebagai pusat mengoptimumkan potensi sumber pakar dan kepakaran universiti dalam bidang berkaitan dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

3. Sebagai pusat  mengukuhkan kepakaran dengan tujahan aktiviti penyelidikan yang terfokus dan multi disiplin.

4. Memberikan khidmat kepakaran dan perundingan  berkaiatan  dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi yang bersistematik dan professional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

5. Melaksanakan  aktiviti-aktiviti  dalam  nic dakwah  masyarakat  Orang Asli dan Peribumi yang dikenal pasti.

6. Mewujudkan jaringan pintar ke arah kecemerlangan dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi dengan agensi berkaitan/ stakeholder.

7. Menjadi pusat rujukan berkaitan dengan dakwah masyarakat Orang Asli dan Peribumi.

8. Menjadi pusat latihan di kalangan pendakwah.